
TH dalam kenyataannya berkata, keputusan itu diambil berikutan makluman beberapa aduan awam mengenai perkhidmatan umrah ditawarkan syarikat terbabit.
“Bakal haji memilih untuk mengerjakan haji melalui pakej swasta masih boleh memilih antara 22 lagi syarikat PJH dilesenkan, termasuk anak syarikat TH, iaitu TH Travel & Services Sdn Bhd.
“TH sentiasa memantau prestasi syarikat PJH dilesenkan termasuk perkhidmatan diberikan bagi ibadah umrah.
“TH tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak demi menjamin kebajikan jemaah haji negara,” katanya.
Terdahulu FMT melaporkan, kira-kira 60 bakal jemaah umrah menyerbu pejabat sebuah agensi umrah, haji dan pelancongan bagi menuntut semula bayaran susulan pihak agensi menangguhkan perjalanan mereka ke Tanah Suci.
Agensi syarikat pengendali terbabit menerusi kenyataan berkata, penangguhan perjalanan tersebut disebabkan kenaikan mendadak kos dari segi penginapan dan tiket kapal terbang.
Ini berikutan permintaan tinggi seluruh dunia selepas kelonggaran sekatan Covid -19 di Arab Saudi berbanding Ramadan tahun sebelumnya.
Menurut bakal jemaah yang terlibat, mereka mengesyaki wujud penipuan dalam pengurusan apabila bayaran balik dijanjikan kepada mereka tidak dibuat mengikut tempoh dikatakan.
Malah ada yang mendakwa selepas membuat pembayaran penuh, mereka langsung tidak mendapat maklumat mengenai rombongan itu, dan tiada maklum balas diterima apabila ditanya.