
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Nasrudin Hassan, berkata konsert itu tidak membawa sebarang kebaikan kepada agama, bangsa dan negara.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang dalam negara.
“Saya nasihatkan agar batalkan saja persembahan kumpulan ini di Malaysia,” katanya di Facebook, dengan memuat naik gambar konsert kumpulan itu yang didakwa mempunyai unsur LGBT serta kenyataan Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan Coldplay.
Semalam, perdana menteri menerusi catatan Facebook mengucapkan selamat datang kepada Coldplay yang akan mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Nov ini.
Selain Malaysia, Coldplay akan mengadakan persembahan di Jepun, Indonesia, Australia dan Taiwan.
Siri jelajah Coldplay bermula sejak Mac 2022 dan kumpulan itu antara artis yang menjual tiket konsert terbanyak di dunia.