Suami isteri edar dadah ditahan polis

Suami isteri edar dadah ditahan polis

Penahanan mereka bersama seorang lagi suspek semalam turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM103,362.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata semua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Sabtu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri antara tiga yang ditahan dalam serbuan berasingan di Sitiawan dan Kampar, Perak semalam selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Penahanan semua suspek berusia 28, 29 dan 36 tahun itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM103,362.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata suami isteri itu ditahan dalam serbuan pertama di sebuah rumah pada 12.05 tengah malam bersama rampasan 7,042 gram dadah jenis heroin dan 3,058 gram ganja.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah.

“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati negatif dadah dan mereka juga tidak memiliki rekod kesalahan lampau.

“Berdasarkan siasatan, suami isteri itu aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan dadah yang dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kenderaan, tujuh utas rantai, enam bentuk cincin, empat pasang anting-anting dan satu bentuk subang hidung dengan nilai keseluruhan RM72,332.60,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata, seorang lagi suspek lelaki ditahan di sebuah rumah di Desa Lawan Kuda, Kampar pada 12.30 tengah malam dan beberapa barang untuk membungkus dan menghisap dadah turut dirampas.

Katanya, dadah yang dirampas adalah 2,700 gram serbuk ekstasi, kafen (1,679 gram), methamphetamine (22 gram), heroin (21 gram), 15 biji pil erimin 5 dan 11 biji pil ekstasi.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine selain memiliki 17 rekod lampau bersabit kes dadah dan satu rekod jenayah.

“Berdasarkan siasatan, suspek terbabit baru sebulan aktif semula dalam aktiviti pengedaran dadah dan dadah yang dirampas itu diedarkan untuk pasaran tempatan,” katanya.

Katanya, semua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Sabtu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.