
Dalam jawapan bertulis Parlimen kepada soalan V Ganabatiru (PH-Klang), Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang berkata mereka yang sengaja mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan menggugat perpaduan dan keharmonian rakyat khususnya berkaitan isu perkauman, boleh disiasat dan didakwa.
“Walaubagaimanapun, kalau keadaan mendesak dan kerajaan memikirkan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula untuk pindaan bagi mengekang sesetengah percakapan (‘hate speech’) atau perbuatan provokasi yang boleh menggugat keharmonian, maka kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya.
Ganabatiru bertanya sama ada kerajaan akan mengusulkan undang-undang seperti antiperkauman, ucapan kebencian atau perlindungan minoriti bagi menyekat isu perkauman dan ekstrem yang dijadikan modal tuduhan berkaitan perkauman serta agama oleh pihak tertentu.
Aron berkata, kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, manakala kesalahan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam pula disiasat mengikut Seksyen 505 kanun sama.
Tambahnya, kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian pula disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], manakala Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) adalah bagi kesalahan menghasut.
Selain itu, katanya, mengganggu perhimpunan yang menjalankan sembahyang pula kesalahan yang disiasat mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan, dan kesalahan menyebut perkataan atau melakukan perbuatan dengan niat sengaja hendak melukakan perasaan agama membolehkan seseorang disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Selain itu katanya Seksyen 298A Kanun Keseksaan terpakai bagi kesalahan menyebabkan, atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat, atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.