Warga emas rentung terperangkap dalam kebakaran

Warga emas rentung terperangkap dalam kebakaran

Jurucakap bomba berkata mangsa ditemui rentung di bawah runtuhan rumah yang sudah 90% terbakar.

Anggota bomba berusaha memadam api yang memusnahkan rumah di Kampung Tutus Ulu, Jalan Mukah – Balingian tengah malam tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun ditemukan rentung selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Tutus Ulu, Jalan Mukah – Balingian tengah malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran kira-kira 12.04 tengah malam sebelum menghantar sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah ke lokasi.

“Maklumat awal daripada pemanggil terdapat mangsa dalam rumah tersebut.

“Mangsa kemudian dijumpai rentung di bawah runtuhan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, menurut Kosmo!.

Menurut jurucakap itu, rumah yang didiami enam penghuni itu telah terbakar 90%.

Bagaimanapun katanya, penghuni lain terdiri daripada seorang lelaki warga emas, tiga lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berjaya keluar menyelamatkan diri.

Katanya, pasukan bomba kemudian melakukan pemadaman menggunakan sumber air dari pili bomba dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 1.57 pagi.

Tambahnya, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.