Cepat kaji RUU kawalan produk merokok, badan pemikir gesa jawatankuasa Parlimen

Cepat kaji RUU kawalan produk merokok, badan pemikir gesa jawatankuasa Parlimen

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial mahu RUU kawalan produk merokok diundi pada sesi Parlimen sekarang.

Sebuah badan pemikir menggesa jawatankuasa pilihan Parlimen supaya cepat mengkaji semula Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam supaya ia boleh diundi pada sesi Parlimen sekarang.
PETALING JAYA:
Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial terkejut kerajaan sekali lagi merujuk RUU itu ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan, selepas bacaan pertama. RUU itu juga dikenali sebagai RUU Generational End Game atau GEG.

“Sekiranya RUU itu dibawa ke bacaan kedua, ia boleh dibahaskan secara terbuka, pandangan boleh diberikan secara telus, dan sifat-sifatnya dipertimbangkan,” kata CEO Azrul Khalib dalam kenyataan.

RUU itu memuatkan peruntukan yang ingin mengharamkan penggunaan, pembelian, dan jualan rokok dan produk vape bagi individu yang lahir selepas 2007.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata RUU itu dirujuk semula ke PSC susulan libat urus dengan pemegang taruh.

Azrul berkata langkah kerajaan mengeluarkan cecair dan gel nikotin dalam vape daripada senarai bahan kawalan bawah Akta Racun, yang bertentangan dengan syor Lembaga Racun, hanya mengundang masalah.

Beliau khuatir langkah itu akan mengakibatkan golongan muda, terutama wanita, menjadi sasaran kempen-kempen jualan oleh peruncit dan pengilang.

“Cukuplah dengan alasan dan andaian. Pemerintah dan Ahli Parlimen mesti bersikap pragmatik, mencari penyelesaian yang wajar, dan berani melakukan perkara yang betul,” kata Azrul.

“Oleh itu, kalau kita terpaksa menangguhkan buat sementara peruntukan-peruntukan GEG yang berkenaan supaya RUU ini boleh lulus, maka lakukan lah. Parlimen perlu luluskan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam sekarang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.