
Ditemui pemberita selepas konvensyen jentera PN Selangor di Shah Alam petang tadi, Azmin berkata keadaan semasa memerlukan beliau ‘bekerja sebagai satu pasukan’.
“Ya, saya telah memaklumkan saya ingin berehat sementara dari politik. Oleh kerana keadaan semasa memerlukan kami bekerja sebagai satu pasukan, saya akan patuh dan taat kepada arahan parti,” katanya, ketika ditanya tentang kemungkinan bertanding pada PRN akan datang.
Bekas menteri besar Selangor dan Adun Bukit Antarabangsa itu mengumumkan beliau mahu berehat seketika daripada politik pada Februari.
Dalam pada itu, Azmin memaklumkan PN telah siap merangka manifesto pilihan raya yang dipersetujui oleh semua parti komponen.
“Kita akan umum bila sampai masanya nanti,” katanya.