Orang kalah 12,000 undi sakit hati lihat Selangor maju, Amirudin bidas pembangkang

Orang kalah 12,000 undi sakit hati lihat Selangor maju, Amirudin bidas pembangkang

Amirudin Shari berkata tohmahan terhadap kerajaan pimpinannya termasuklah dibuat seorang yang masih 'tidak insaf' walaupun kalah teruk dengan majoriti 12,000 undi.

Amirudin Shari berkata serangan terhadap Selangor sudah dijangka untuk menutup kejayaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH). (Gambar Bernama)
BANGI:
Ketua Pakatan Harapan (PH) Selangor Amirudin Shari membidas pemimpin pembangkang yang “sakit hati” melihat kemajuan dan prestasi memberangsangkan ekonomi negeri itu selepas beliau tidak lagi menjadi menteri besar.

Tanpa menamakannya, Amirudin yang mengetuai pentadbiran Selangor pada 2018 berkata individu terbabit masih belum “insaf” walaupun selepas kalah teruk dengan majoriti 12,000 undi pada pilihan raya umum, November lalu.

Untuk rekod pada PRU15, bekas menteri besar Selangor Azmin Ali tewas kepada Amirudin di Parlimen Gombak dengan majoriti lebih 12,000 undi.

“Yang kata Selangor tak maju adalah bekas MB, tak sedar diri dan bertaubat walaupun sudah kalah 12,000 undi.

“Saya tak faham dulu kata kita paling maju sumbang 24% dan 23% (Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)), tetapi berdasarkan statistik baru-baru ini Selangor sumbang 25.5%, satu perempat daripada ekonomi negara di Selangor di bawah kelolaan kerajaan perpaduan,” katanya berucap pada Jelajah Perpaduan Madani.

Amirudin yang juga naib presiden PKR berkata beliau sudah menjangkakan pembangkang dengan pelbagai dakyah untuk merampas Selangor pada PRN.

“Mereka hendak tutup mata dan membisukan kejayaan kita selama 15 tahun di Selangor,” katanya.

Azmin, ketua Perikatan Nasional (PN) Selangor yang menjadi menteri besar dari 2014 hingga 2018 sering mempersoalkan Amirudin sebagai penggantinya dalam mentadbir negeri paling maju di Malaysia itu.

Rabu lalu, sebuah portal melaporkan Azmin mempersoalkan dakwaan Amirudin lebih berjaya daripadanya dalam membawa masuk pelabur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.