Sarawak di landasan tepat jadi negeri pendapatan tinggi, kata Abang Jo

Sarawak di landasan tepat jadi negeri pendapatan tinggi, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata penambahan sektor ekonomi dan naik taraf infrastruktur tidak bermakna jika ada yang 'malas' mengubah keadaan.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata pendapatan negeri menunjukkan peningkatan pada 2022. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Sarawak berada pada landasan betul menjadi negeri berpendapatan tinggi, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Beliau berkata, pendapatan Sarawak yang menunjukkan peningkatan pada 2022, selain pendapatan negara kasar (PNK) sudah melebihi daripada garisan Bank Dunia antara faktor mengapa ia dilihat sebagai negeri berpendapatan tinggi.

“Kita di landasan yang betul dan pada tahun 2022 memang pendapatan kita telah bertambah.

“Apabila kita sebut perkara pendapatan negara kasar (PNK) maknanya pendapatan kita telah melebihi daripada garisan Bank Dunia, sebab itu mereka berpendapat bahawa Sarawak sekarang negeri yang berpendapatan tinggi,” katanya kepada pemberita di Kota Samarahan.

Semalam, ahli ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi berkata, Sarawak kini sebuah “negeri berpendapatan tinggi”.

Dalam ciapannya di Twitter, Apurva berkata, pendapatan negara kasar (PNK) Sarawak telah melebihi ambang pendapatan tinggi USD13,205 (RM61,500).

Beliau berkata, ini berdasarkan penukaran data Bank Dunia yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Tambah Abang Johari, kerajaan negeri akan membangunkan sektor ekonomi lain serta penambahbaikan infrastruktur yang dilihat mampu memberi manfaat kepada rakyat negeri itu meningkatkan pendapatan isi rumah.

Bagaimanapun, katanya, penambahan sektor ekonomi dan naik taraf infrastruktur tidak bermakna jika rakyat sendiri tidak mencari peluang untuk mengembangkan bakat dan pendapatan mereka.

“Apabila siap infrastruktur rakyat dapat guna bakat untuk mengangkatkan lagi pendapatan mengikut kemampuan mereka, tetapi kalau yang ‘malas’ memanglah tak dapatlah mengubah keadaan.

“Tetapi, yang rajin dan ada bakat kita tekankan kepada tiga perkara, iaitu pembangunan bakat, infra asas, teknologi kalau kita sudah ada asas yang kuat, 2030 harapnya pendapatan dan keadaan masyarakat akan meningkat naik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.