Tak mungkin MCA, MIC sertai PN, kata penganalisis

Tak mungkin MCA, MIC sertai PN, kata penganalisis

Penganalisis politik berkata, ideologi asas dua komponen BN itu tidak sehaluan dengan PN, khususnya PAS.

Perikatan Nasional mempelawa MCA dan MIC bertanding dalam PRN di bawah tiket gabungan itu.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menolak kemungkinan MCA dan MIC menyertai Perikatan Nasional (PN), sekalipun hanya untuk PRN bulan depan kerana ideologi mereka secara asasnya tidak sehaluan.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, dua parti itu yang menjadi sebahagian Barisan Nasional (BN) sejak penubuhannya pada 1973, tidak sehaluan dengan keinginan PAS menjadikan Malaysia negara Islam.

PAS, komponen PN bersama Bersatu dan Gerakan, memiliki 42 kerusi di Dewan Rakyat, manakala Bersatu mempunyai 31.

Chin menjangkakan ahli MCA dan MIC akan memberontak, jika dua parti itu benar-benar berganding bahu dengan PN.

“Tidak mungkin,” katanya kepada FMT, dengan menambah parti berkenaan tidak akan menerima sekalipun ditawarkan kerusi untuk bertanding.

Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, wujud perbezaan ideologi amat ketara antara PN dan BN.

“Saya tidak dapat melihat MCA atau MIC mengubah haluan kerana jenama politik amat berbeza antara BN dengan PN. Mereka mungkin lebih rugi jika menyertai PN.

“MIC dan MCA patut fokus mengukuhkan parti masing-masing dan membuktikan mereka berhak mendapat kerusi pada PRU16. Dalam hal ini, mereka mesti memastikan kerajaan perpaduan kekal kukuh,” katanya.

Minggu lalu, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRN di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini.

Susulan itu, Pengerusi PN Kedah, Sanusi Nor mempelawa dua parti itu bertanding dalam PRN di bawah gabungan berkenaan. Presiden MCA, Wee Ka Siong bagaimanapun menolak pelawaan itu.

Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, penyertaan MCA dan MIC dalam PRN bulan depan tetap tidak dapat membantu PN menarik pengundi Cina serta India.

Ini kerana katanya, 90% pengundi bukan Melayu memilih Pakatan Harapan pada PRU 2022 dan pelawaan Sanusi sekadar cubaan untuk menunjukkan PN berbilang kaum.

“Mungkin ini strategi untuk menunjukkan PN bukan sekadar dianggotai Melayu Islam, dan merangkumi komponen bukan Melayu seperti Gerakan, MCA dan MIC,” katanya.

PN memenangi 75 kerusi dalam PRU November lalu. Gabungan dipimpin Muhyiddin Yassin itu meraih sebahagian besar undi Melayu daripada BN, yang menunjukkan prestasi pilihan raya terburuk apabila hanya mampu memenangi 30 kerusi. MCA menang dua kerusi, manakala MIC memperoleh satu kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.