Team Haq galas cabaran negara ke Phygital Games 2023 di Rusia

Team Haq galas cabaran negara ke Phygital Games 2023 di Rusia

Pasukan Team Haq terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan berprestij itu setelah mendapat jemputan khas dari penganjur.

Pasukan Team Haq Esport Club sebelum berlepas ke Kazan, Rusia untuk mewakili negara dalam kejohanan Phygital Games 2023.
PETALING JAYA:
Pasukan Team Haq Esport Club, juara Liga Profesional Mobile Legends MY musim ke-10, secara rasminya akan mewakili negara ke kejohanan Phygital Games 2023 yang akan berlangsung di Kazan, Rusia dari 17 hingga 24 Julai ini.

Pasukan Team Haq terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan berprestij itu setelah mendapat jemputan khas dari penganjur yang membuat pemilihan berdasarkan prestasi Team Haq di peringkat nasional dan antarabangsa.

Selain Team Haq, tujuh lagi pasukan e-sukan dari negara lain akan bertarung termasuk dari Filipina, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Vietnam dan Kemboja.

Pertandingan tersebut dianjurkan di bawah kejohanan “Games of the Future” di Kazan, Russia membariskan pelbagai sukan menggunakan pendekatan “phygital” iaitu gabungan sukan fizikal dan digital.

Pengasas Team Haq Aimanhaq Zaharudin, melahirkan rasa syukur kerana pasukan itu terpilih menyertai pertandingan di peringkat dunia.

“Ini adalah kejohanan pertama kami di benua Eropah. Sudah pasti ia akan memberikan pengalaman berbeza buat kami,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Aimanhaq berkata Team Haq akan menghantar skuad kedua yang digelar Team Haq All Star, dan para pemain akan dinilai untuk menentukan sama ada mereka layak untuk menyertai skuad utama apabila jendela perpindahan pemain di Malaysia dibuka nanti.

Aimanhaq berkata penyertaan di Russia itu juga merupakan persediaan untuk pasukan Team Haq menghadapi Regular Season MPL MY Musim ke-12.

“Team Haq bertekad untuk memberikan persembahan terbaik dan akan berusaha sedaya upaya merebut gelaran juara di Rusia,” katanya.

Team Haq All Star akan dibarisi oleh pemain iaitu Lolla, Minnn, Mannn, Nain dan juga Hitto.

Pusingan kelayakan kedua yang akan disertai Team Haq akan berlangsung pada 20 Julai dan menawarkan hadiah bernilai USD50,000 (RM226,300).

Pasukan yang mendapat kedudukan teratas berpeluang menyertai pusingan akhir tahun hadapan dengan hadiah berjumlah USD3 juta (RM13.5 juta).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.