Lelaki menyamar polis ditahan

Lelaki menyamar polis ditahan

Polis berkata suspek gagal menunjukkan identiti polis dan MyKad bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan.

Warga tempatan berusia 22 tahun itu ditahan ketika Op Samseng Jalanan kira-kira 2 petang semalam. (Gambar Facebook Polis Daerah Keningau)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan kerana menyamar anggota polis di Keningau, Sabah, semalam.

Warga tempatan berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Keningau ketika Op Samseng Jalanan kira-kira 2 petang.

Ketua Polis Keningau, Nor Rafidah Kasim, berkata suspek ketika itu berpakaian preman dan jaket hijau tertera tulisan “polis”.

“Ketika diminta menunjukkan identiti polis dan MyKad bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan, suspek gagal kemukakan kepada polis.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, beberapa barangan lain dan motosikal ditunggang suspek dirampas, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.