CEO MBI, pengarah syarikat direman berkait rasuah REE RM13 juta

CEO MBI, pengarah syarikat direman berkait rasuah REE RM13 juta

Suspek lelaki dan wanita berusia 63 dan 40 tahun direman tiga hari bermula hari ini.

Ketua pegawai eksekutif di Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang pengarah syarikat ditahan semalam di Alor Setar dan di ibu negara.
PETALING JAYA:
Ketua pegawai eksekutif di Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita yang juga pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa berkait aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) berjumlah lebih RM13 juta.

Menurut sumber, SPRM mendapat kebenaran untuk menahan reman kedua-dua suspek berusia 63 dan 40 tahun itu selama tiga hari bermula hari ini oleh Majistret Alor Setar dan Majistret Shah Alam.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan lewat petang semalam di Alor Setar dan di ibu negara.

Sumber berkata, aktiviti perlombongan dijalankan secara haram oleh syarikat terbabit mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak 2020.

“Hasil siasatan dijalankan dapat mengesan bahawa beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta diberikan syarikat itu sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram ini dari 2020 hingga 2023.

“Syarikat milik wanita yang ditahan itu dipercayai mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak di dua kompartmen di Kedah dalam tahun 2016 lagi,” katanya.

Projek itu bertujuan untuk menanam semula pokok getah klon balak di kawasan pembalakan yang terlibat.

Kata sumber, pada 2020, syarikat sama mengemukakan permohonan kepada kerajaan Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan REE dalam kompartmen yang sama tetapi tiada kelulusan diberikan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.