Sosiopolitik penyebab DAP ‘jadi seperti MCA’, kata penganalisis

Sosiopolitik penyebab DAP ‘jadi seperti MCA’, kata penganalisis

Oh Ei Sun berkata sistem sosiopolitik Malaysia mempunyai banyak peraturan untuk memastikan 'penguasaan mutlak Melayu'.

Dakwaan Ronnie Liu (kiri) pemimpin DAP ‘berubah menjadi tokoh seperti dalam MCA’ adalah disebabkan kompromi yang mesti mereka lakukan semasa dalam kerajaan, kata penganalisis Oh Ei Sun.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis berkata keadaan sosiopolitik negara mendorong parti bukan Melayu dan mereka yang bergantung kepada parti Melayu bergerak ke arah menjadi tidak relevan “seperti MCA”.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, banyak peraturan tersurat dan tersirat dibina dalam sistem sosiopolitik Malaysia untuk memastikan “penguasaan mutlak Melayu”.

Katanya, pada tahap tertentu, parti bukan Melayu berada di kedudukan lebih baik untuk memperjuangkan layanan sama rata terhadap komuniti mereka sebagai pembangkang.

Bagaimanapun katanya, sebaik parti ini membentuk sebahagian kerajaan yang memerintah, mereka perlu menerima “penguasaan yang tidak boleh dipertikaikan” oleh parti Melayu atau majoriti Melayu.

“Ini termasuk (berkompromi) isu berkaitan kepentingan orang bukan Melayu, yang lebih kerap menimbulkan kemarahan penyokong yang mungkin semakin menjauhi mereka untuk mencari parti lain,” katanya kepada FMT.

Katanya, parti bukan Melayu boleh menyuarakan kebimbangan mereka apabila rakan kongsi dominan dalam gabungan menjadi “terlalu berpaksikan Melayu”, namun akhirnya “dilema MCA” akan menghantui mereka berikutan keadaan sosio-politik sedia ada.

Pada Isnin, Ronnie Liu berkata sesetengah pemimpin DAP nampaknya sudah melupakan nilai teras parti dan berisiko menjadi tokoh seperti dalam MCA.

“Mereka mungkin tidak tahu, (tetapi) mereka mula kata (perkara seperti) ‘kita perlu berkompromi’, ‘kita perlu melihat gambaran lebih besar’, ‘kita akan cuba tangani masalah itu secara dalaman’,” kata bekas ahli DAP itu.

Liu turut mendakwa sesetengah pemimpin DAP mula melupakan idea itu, apabila mereka dikuasai “3P” (kuasa, kedudukan dan manfaat).

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara bagaimanapun tidak bersetuju sambil berkata, analisis Liu “jauh tersasar” berikutan DAP adalah dominan dalam pentadbiran Anwar Ibrahim.

“Saya tidak rasa begitu kerana DAP lebih dominan berbanding Umno dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Menurut Azmi, penguasaan hebat Umno dalam BN menyaksikan MCA “menjadi parti yang lemah”.

Katanya, walaupun DAP dominan, Umno terus mengekalkan kerelevannya terutama dalam PRN akan datang di mana penyokong DAP perlu mengetepikan rasa tidak suka mereka terhadap Umno dan menyokong calon parti Melayu itu.

“Mereka perlu sokong calon Umno kerana alternatif yang ada ialah PAS,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata jika calon daripada DAP diletakkan, ia akan memberikan akar umbi Umno “alternatif yang sangat menarik” untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.