Gagal sertai PN, Pejuang tak tanding PRN

Gagal sertai PN, Pejuang tak tanding PRN

Pejuang tidak dapat respon yang positif daripada PN sejak Januari atas hasratnya untuk menyertai gabungan itu, kata Mukhriz Mahathir.

Tanpa penyertaan Pejuang pada PRN, Mukhriz Mahathir tidak akan mempertahankan DUN Jitra yang dimenanginya pada PRU14. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pejuang tidak akan meletakkan calon pada PRN Ogos depan berikutan usaha parti itu untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tidak membuahkan hasil.

Keputusan itu diumumkan presidennya, Mukhriz Mahathir selepas taklimat khas presiden Pejuang sebentar tadi.

Dengan perkembangan ini, Pejuang tidak akan mempertahankan empat kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU14, iaitu dua di Kedah dan dua di Selangor, termasuk DUN Jitra disandang Mukhriz.

“Setelah menanti sejak Januari, (Pejuang) tidak mendapat respon yang positif daripada PN atas hasrat kami untuk sertai gabungan itu.

“Maka Pejuang telah membuat keputusan tidak akan menyertai PRN (akan datang di) enam negeri,” katanya pada sidang media.

Mukhriz berkata, keputusan itu mengambil kira seruan bapanya, Dr Mahathir Mohamad, supaya undi Melayu tidak berpecah.

“Setelah berapa bulan kita bahaskan secara dalaman berkenaan situasi politik semasa, minggu lepas dalam mesyuarat eksekutif pusat, kita telah buat keputusan atas sebab kita setuju dengan cadangan Tun (Mahathir) bahawa undi Melayu tak sepatutnya dipecahkan.”

Pada Mac, PN menolak permohonan Pejuang untuk menyertainya, namun bulan lepas, Mukhriz sekali lagi menzahirkan hasrat partinya untuk bekerjasama dengan PN pada PRN dalam usaha agar undi Melayu tidak berpecah.

Ini susulan pertemuan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Mahathir yang bersetuju mengukuhkan perpaduan orang Melayu serta meningkatkan sokongan kepada PN pada PRN 12 Ogos depan.

Pada 6 Julai, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN tidak dapat menerima permintaan Pejuang untuk menyertai gabungan itu menjelang PRN kerana agihan kerusi antara komponen telah selesai.

Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah bagaimanapun tidak menyatakan sama ada parti itu cenderung menyokong mana-mana gabungan pada PRN nanti.

Tambahnya, keputusan tidak bertanding pada PRN tidak bermakna parti itu sudah tidak relevan, sebaliknya akan bangkit mengukuhkan kedudukan pada PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.