
Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor itu mengingatkan bahawa beliau pernah menjadi wakil rakyat Hulu Kelang pada 1999, malah ia terletak dalam Parlimen Gombak yang juga pernah diwakilinya selama tiga penggal.
“Saya nak tegaskan Hulu Kelang kerusi utama saya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon PN Selangor bagi PRN akan datang.
“Jadi tidak timbul saya lari, sebagai pemimpin kita harus bersedia.”
DUN Hulu Kelang merupakan kerusi majoriti Melayu yang dimenangi dan dipertahankan aktivitis reformasi dan pemimpin Amanah, Saari Sungib, selama tiga penggal berturut-turut.
Beliau yang memenangi DUN Hulu Kelang atas tiket PKR mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada PRN akan datang, kerana masalah kesihatan.
Pada PRU15, Azmin gagal mempertahankan Parlimen Gombak yang disandang selama tiga penggal, di tangan Menteri Besar Amirudin Shari.
Menjawab keputusan kembali bertanding, Azmin berkata ia dibuat atas dasar parti dan permintaan dari pucuk pimpinan.
“Dalam pilihan raya kali ini saya akur dengan arahan presiden dan majlis pimpinan,” katanya.
Sementara itu, ditanya kemungkinan akan dicalon sebagai menteri besar, Azmin berkata PN setakat tidak menamakan mana-mana calon sebaliknya mahu menumpukan kepada isu rakyat terlebih dahulu.
“Kita ambil keputusan untuk ambil tumpuan masalah rakyat dulu, itu harus jadi keutamaan kita bukannya kuasa atau kedudukan,” tambahnya.