Surat ‘Putera Saud’ hanya nyata janji derma kepada Najib, kata Zeti

Surat ‘Putera Saud’ hanya nyata janji derma kepada Najib, kata Zeti

Bekas gabenor BNM itu memberitahu mahkamah, surat-surat tersebut tidak mendedahkan butiran transaksi sebenar.

Zeti Akhtar Aziz mendedahkan bahawa keempat-empat surat yang ditemukan ketika serbuan BNM mencadangkan bahawa ‘Putera Saud’ akan memberikan ‘derma’ kepada Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa serbuan yang dijalankan oleh pegawai BNM ke atas Maybank pada 6 Julai 2015 menemukan tiga surat yang dikeluarkan oleh “Putera Saud Abdulaziz Al-Saud” kepada Najib Razak.

Beliau berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan surat-surat berkenaan pada 2011, sejurus selepas bekas perdana menteri itu membuka akaun banknya.

Empat surat itu mencadangkan bahawa “putera” itu akan memberikan “sumbangan” kepada Najib, katanya.

“(Surat-surat itu) hanya surat niat dan janji, (dan) tidak mendedahkan butiran transaksi sebenar,” kata Zeti kepada Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan rasuah 1MDB Najib.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan bekas pengurus perhubungan Joanna Yu bahawa ahli perniagaan dikehendaki Low Taek Jho, atau Jho Low, mengarahkan AmBank untuk merahsiakan kewujudan dan kandungan keempat-empat surat itu.

Terdahulu, Zeti memberitahu mahkamah, beliau dimaklumkan bahawa Najib telah membuka akaun AmBank pada 2011.

Beliau berkata, pengarah urusan AmBank ketika itu Cheah Tek Kuang telah memaklumkannya mengenai pembukaan akaun itu dalam mesyuarat pada 2011.

Cheah, yang memberikan keterangan tahun lepas berkata, penting untuk gabenor bank pusat dimaklumkan mengenai perkara itu kerana perdana menteri ketika itu ialah individu yang berisiko dari segi politik.

Dalam keterangannya hari ini, Zeti berkata, AmBank tidak diwajibkan memaklumkan bank pusat mengenai pembukaan akaun-akaun tersebut.

Katanya, tiada kewajipan undang-undang mahupun dasar yang menghendaki bank memaklumkan kepada BNM tentang pemegang akaun mereka.

“Sesiapa sahaja boleh membuka akaun (di mana-mana bank). Institusi kewangan sepatutnya melaksanakan usaha wajar (ke atas pelanggan) untuk memeriksa sama ada semuanya lengkap.

“Walaupun (dokumen) tidak lengkap, dan akaun dibuka, BNM tidak akan dimaklumkan,” kata Zeti ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan pada 14 Ogos.

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana didakwa milik 1MDB sebanyak RM2.28 bilion, yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.