Muda batal hasrat tanding DUN Repah

Muda batal hasrat tanding DUN Repah

Parti itu kini hanya menampilkan satu calon untuk bertanding di PRN Negeri Sembilan.

Muda berkata Iswan Ishak memutuskan untuk menarik diri atas faktor peribadi. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Iswan Ishak yang diumumkan Muda untuk bertanding di DUN Repah di Negeri Sembilan memutuskan untuk menarik diri sebagai calon atas sebab peribadi, kata parti itu.

“Muda menghormati keputusannya dan mengucapkan selamat maju jaya,” kata ketua Muda Negeri Sembilan Tarmizi Anuwar kepada FMT.

Katanya, parti itu tidak merancang untuk menggantikan Iswan.

Keputusan itu menjadikan Ahmad Qusyairi Abdul Rahim yang bakal bertanding di Temiang, satu-satunya calon Muda di Negeri Sembilan.

Setakat ini hanya Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang mengumumkan akan bertanding di Repah, di mana penyandangnya S Veerapan dari DAP akan dicabar Yong Li Yi dari Gerakan.

Pada PRU14, Veerapan memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,758 menewaskan pencabarnya dari Barisan Nasional dan PAS.

Sebelum ini, Muda mengumumkan parti itu akan bertanding di 20 kerusi DUN di seluruh Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.