Adakah SPRM benar-benar bebas, soal Muda

Adakah SPRM benar-benar bebas, soal Muda

Muda menggesa SPRM menyiasat geran RM350,000 yang diumumkan Zahid Hamidi kepada belia Terengganu baru-baru ini.

Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi berkata kenyataan Azam Baki yang mempertahankan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menimbulkan banyak persoalan terutama kebebasan badan pencegahan rasuah itu.
PETALING JAYA:
Muda mempersoalkan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ketua pesuruhjaya badan itu mempertahankan geran RM350,000 diumumkan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi kepada belia Terengganu.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menyifatkan geran RM350,000 diumumkan kerajaan kepada belia Terengganu sebagai pemberian dari pemerintah dan tiada unsur rasuah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi berkata kenyataan Azam itu menimbulkan banyak persoalan terutama kebebasan badan pencegahan rasuah itu.

“Sama ada betul atau salah kenyataan (Azam) yang dikeluarkan tersebut, imej SPRM telah tercalar dan ada yang mempersoalkan adakah kenyataan itu bersifat bebas atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan.

Amir yang bertanding di DUN Seri Serdang pada PRN 12 Ogos ini juga mengingatkan bahawa sebahagian pemimpin dalam kerajaan ketika ini pernah menganjurkan protes terhadap Azam pada Januari tahun lalu.

Katanya, mereka juga menuntut supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap Azam berhubung kontroversi pemilikan saham.

“Namun selepas kerajaan bertukar, kerajaan yang baharu bukan sahaja tidak meneruskan tuntutan proses undang undang, malah melantik beliau semula.

“untuk sekian lama rakan kita dalam Pakatan Harapan menentang peruntukan kerajaan digunakan untuk kepentingan politik apatah lagi di musim pilihan raya.

“Namun kini ia terus berlaku. Muda menggesa supaya SPR menjalankan siasatan telus berkaitan isu ini,” katanya.

Amir juga menggesa supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen, dan perdana menteri tiada kuasa dalam melantik jawatan ketua pesuruhjaya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga membidas SPRM yang masih membisu berhubung pengumuman Zahid mengenai pelbagai sumbangan dan geran kepada belia Terengganu, Jumaat lalu, sehari sebelum penamaan calon berlangsung semalam.

Selain sumbangan kepada gabungan belia Ketengah dan MBM Terengganu, Zahid juga mengumumkan bantuan RM200,000 kepada kelab bermotosikal di negeri itu.

Dalam majlis itu, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menggesa belia yang hadir pada majlis itu supaya mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN bulan depan.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menuduh Zahid cuba “menormalkan rasuah” namun dinafikan Zahid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.