
PETALING JAYA: Rina Harun mungkin nama besar dengan pengalaman sebagai menteri, tetapi penduduk Batu Tiga tidak cukup mengenali calon Bersatu itu untuk mengundinya.
Seorang penduduk hanya mahu dikenali sebagai Abdul Rahman terkejut apabila ketua Wanita Bersatu berusia 50 tahun itu dicalonkan untuk kerusi DUN Selangor.
“Ia cabaran getir baginya kerana sini kubu kuat Pakatan Harapan (PH),” katanya sambil menambah Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai pengaruh di kawasan itu.
Jamaluddin Idris, 58, pula berkata Rina mungkin mempunyai peluang jika menyasarkan pengundi tidak puas hati dan belum membuat keputusan.
“Beliau perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati pengundi, khasnya mereka yang kecewa kerana Rodziah Ismail, mempunyai rekod prestasi terbukti, tidak mempertahankan kerusinya di sini.”
Rodziah dari PKR ialah Adun Batu Tiga selama tiga penggal yang memberi laluan kepada muka baharu pada PRN Sabtu ini. PH menamakan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid sebagai calon.
Jamaluddin berkata, Rina juga boleh menyasarkan penyokong Umno yang kecewa kerana calon parti itu tidak dipilih untuk bertanding di Batu Tiga.
Nabawi Ibrahim berkata, PN mempunyai peluang lebih baik jika tidak meletakkan calon payung terjun seperti Rina yang mempunyai tugas sukar untuk meyakinkan penduduk mengundinya.
“Dia orang asing di sini, jadi dia perlu bekerja lebih keras daripada calon lain. Tidak cukup hanya pergi ke tempat seperti pasar malam. Dia perlu pergi rumah ke rumah di kawasan perumahan dan menemui penduduk setempat,” kata lelaki berusia 50-an itu.
Rina dalam temu bual dengan FMT baru-baru ini, yakin dengan peluangnya berdasarkan manifesto PN untuk Selangor, termasuk memperluaskan Skim Peduli Sihat dan Skim Perlindungan Perubatan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.
Bekas pemimpin Puteri Umno itu keluar parti dan menyertai Bersatu pada 2016.
Sebagai ketua Wanita Bersatu, beliau memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU 2018 atas tiket PH. Tetapi, beliau memutuskan tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU15 November lalu.
Sebaliknya, beliau bertanding di kerusi Parlimen Sepang atas tiket PN, tetapi tewas kepada Aiman Athirah Sabu dari PH-Amanah.