Polis panggil Hadi berkait ucapan pilihan raya

Polis panggil Hadi berkait ucapan pilihan raya

Setiausaha politik Abdul Hadi Awang berkata pihaknya dihubungi Bukit Aman pagi tadi.

Satu laporan polis dibuat berkenaan ucapan Abdul Hadi Awang dalam kempen pilihan raya di Simpang Jeram, Johor.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dipanggil polis untuk diambil keterangan selepas satu laporan polis dibuat berkenaan ucapan beliau dalam kempen pilihan raya di Simpang Jeram, Johor.

Setiausaha politik beliau, Syahir Sulaiman, berkata Hadi sedia beri kerjasama kepada siasatan polis.

“Pagi ini kami telah dihubungi pihak Bukit Aman untuk mendapatkan keterangan daripada Hadi, berhubung suatu laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen pilihan raya di Simpang Jeram, Johor.

“Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada Hadi, dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman,” katanya di Facebook.

Syahir ketika dihubungi berkata pihaknya tidak tahu butiran siasatan itu dan menunggu polis memberikan tarikh ambil keterangan.

“Tidak dinyatakan isu apa yang disiasat. Kami pun tak tanya,” katanya kepada FMT.

Hadi tampil memberikan ceramah pada hari pertama PRK DUN Simpang Jeram di Markas PAS Bakri.

Hari pengundian di PRK Simpang Jeram ditetapkan pada 9 Sept, serentak dengan PRK Parlimen Pulai.

Sebelum ini dilaporkan, Hadi diambil keterangan oleh polis dalam siasatan ke atas catatan di Facebook yang mengulas mengenai DAP, pada Julai.

Catatan berkenaan didakwa mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman yang boleh mencetus kegusaran awam, menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.