
Beliau berkata penyediaan kemudahan dana itu membolehkan gabungan kewangan sebagai pemangkin bagi memastikan kelancaran sumber kewangan membabitkan projek peralihan tenaga berdepan kekangan pinjaman atau potensi pulangan di bawah pasaran.
“Contohnya, pelaburan dalam rantaian nilai kenderaan elektrik (EV), hidrogen dan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS),” katanya ketika berucap dalam Persidangan Peralihan Tenaga 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Hadir sama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Mengulas lanjut, beliau berkata Majlis Tenaga Negara akan diaktifkan untuk memastikan pembangunan dasar dan perancangan tenaga holistik sambil memantau kemajuan NETR.
“Saya secara peribadi akan memastikan majlis itu berfungsi seperti diamanahkan.”
Katanya, peralihan tenaga bukan satu pilihan dan kerajaan mengalu-alukan sektor swasta menjadi rakan kongsi dengan mengambil bahagian dan melabur dalam peralihan itu.
Anwar berkata, walaupun Malaysia mempunyai industri minyak dan gas lumayan, negara mengiktiraf kepentingan sumber tenaga boleh baharu (TBB).
“Kerajaan menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai 70% kapasiti terpasang TBB menjelang 2050 dan menarik balik larangan perdagangan rentas sempadan tenaga berkenaan. Bursa tenaga boleh baharu akan ditubuhkan dan dilancarkan pada 2024 untuk bertindak sebagai agregator pasaran yang akan membolehkan penemuan harga dan mengewangkan kuasa berlebihan.
“Memandangkan pembiayaan adalah cabaran utama dalam peralihan tenaga, dianggarkan sekurang-kurangnya RM1.2 trilion pelaburan diperlukan antara 2023 dan 2050 bagi membolehkan pelaksanaan peralihan tenaga bertanggungjawab.
“Dalam dekad ini sahaja, kerajaan memerlukan antara RM60 bilion dan RM90 bilion untuk diperuntukkan bagi projek penting, antara lain pengembangan pengangkutan awam, pengukuhan infrastruktur grid dan latihan semula modal insan.”