Boling padang: Nabilah-Aleena muncul juara dunia

Boling padang: Nabilah-Aleena muncul juara dunia

Nabilah dan Aleena menewaskan Rebecca Rixon dan Connie Leigh Rixon dari Malta pada aksi final Kejohanan Boling Padang Dunia.

Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi mengulangi kejayaan Malaysia menjadi juara dunia pada 2008.
PETALING JAYA:
Beregu boling padang negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara Kejohanan Boling Padang Dunia di Gold Coast, Australia, hari ini.

Kali terakhir Malaysia muncul juara dunia adalah menerusi Safuan Said dalam acara perseorangan lelaki di Christchurch, New Zealand pada 2008.

Beraksi kali pertama ke pentas tertinggi itu, Nabilah dan Aleena menewaskan pasangan dari Malta Rebecca Rixon dan Connie Leigh Rixon 15-11 pada aksi final, menurut Berita Harian.

Nabilah berkata mereka gembira dapat mengatasi tentangan sengit pihak lawan sebelum berjaya muncul juara dunia sekali gus mengibarkan Jalur Gemilang di arena antarabangsa.

“Ia adalah persembahan yang menakjubkan daripada kami apabila dapat menewaskan pasangan Malta. Sudah tentu saya sangat gembira.

“Ini adalah kali pertama kami beraksi di Kejohanan Dunia dan kami dapat apa yang kami mahukan,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan pasangan beregu lelaki Idham Amin Ramlan-Izzat Dzulkeple mendapat pingat gangsa selepas tewas 12-23 kepada peserta tuan rumah Aaron Wilson-Aaron Teys pada aksi separuh akhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.