LKAN 2021: UiTM potensi hilang RM51 juta kesan lewat laksana tuntutan

LKAN 2021: UiTM potensi hilang RM51 juta kesan lewat laksana tuntutan

UiTM berpotensi hilang hasil RM51 juta kesan kelewatan tindakan terhadap kakitangan yang mungkir perjanjian biasiswa, menurut ketua audit negara.

Kelewatan membuat tuntutan ganti rugi terhadap 20 penghutang mengakibatkan UiTM kehilangan hasil berjumlah RM1.26 juta, kerana tindakan tuntutan dihalang oleh Akta Had Masa, menurut LKAN.
PETALING JAYA:
Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpotensi kehilangan hasil puluhan juta ringgit kesan kelewatan tindakan tuntutan ganti rugi terhadap kakitangan yang mungkir perjanjian biasiswa, menurut ketua audit negara.

Wan Suraya Wan Mohd Radzi melaporkan UiTM berpotensi kehilangan RM51.08 juta kesan kelewatan tindakan terhadap 239 pemegang biasiswa yang pecah kontrak.

Mereka ini antara sejumlah 259 pemegang biasiswa yang pecah kontrak sejak 1999 kerana gagal menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam perjanjian, dengan nilai keseluruhan ganti rugi berjumlah RM52.34 juta.

Penemuan audit ke atas tuntutan ganti rugi terhadap pemegang biasiswa berkenaan, yang dijalankan dari April 2021 hingga Jun 2022, dilaporkan dalam laporan bagi 2021 yang diterbitkan hari ini.

Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (JPSM) UiTM melalui Bahagian Kemajuan Kerjaya (BKK) merupakan bahagian yang bertanggungjawab terhadap penawaran biasiswa kakitangan, pemantauan kemajuan pengajian pemegang biasiswa, dan tuntutan ganti rugi bagi “penghutang pecah kontrak”.

Kertas kerja tak disediakan

Wan Suraya melaporkan audit mendapati 201 pemegang biasiswa daripada 259 itu belum dibawa kepada kelulusan JKI-PKSM untuk melaksanakan tindakan tuntutan ganti rugi.

Nilai tuntutan berjumlah RM42.63 juta, melibatkan kelewatan antara 1 hingga 22 tahun.

“Audit mendapati kertas kerja tuntutan ganti rugi terhadap 201 penghutang pecah kontrak yang perlu dibawa untuk kelulusan JKI-PKSM tidak disediakan bagi tujuan kelulusan,” kata laporan itu.

Audit juga mendapati 58 pemegang biasiswa daripada 259 itu masih belum dibuat tindakan tuntutan, walaupun kelulusan JKI-PKSM telah diperolehi.

Nilai tuntutan berjumlah RM9.71 juta, melibatkan kelewatan antara 129 hingga 1,473 hari.

“Berlaku kelewatan yang ketara dalam penghantaran dokumen yang lengkap seperti Surat Tawaran Biasiswa, Perjanjian Biasiswa dan Memorandum Perjanjian oleh BKK UiTM kepada Pejabat Penasihat Undang-undang (PUU) UiTM antara 43 hingga 697 hari dari tarikh mesyuarat JKI-PKSM,” kata laporan itu.

“Kelemahan pengurusan dan dokumentasi biasiswa telah menyebabkan kelewatan penyediaan dokumen yang lengkap untuk dikemukakan kepada PUU UiTM bagi tindakan tuntutan ganti rugi dilaksanakan.”

Akta Had Masa

Dalam pada itu, Wan Suraya melaporkan kelewatan membuat tuntutan ganti rugi terhadap 20 penghutang mengakibatkan UiTM kehilangan hasil berjumlah RM1.26 juta, kerana tindakan tuntutan dihalang oleh Akta Had Masa.

Sementara itu, UiTM dalam maklum balasnya kepada ketua audit negara memaklumkan tindakan telah diambil terhadap 259 pemegang biasiswa berkenaan.

Katanya, notis tuntutan dikeluarkan antara Julai hingga Disember tahun lepas kepada 166 pemegang biasiswa, yang mana 86 bersetuju untuk membayar ganti rugi melalui pemotongan gaji mulai Februari 2023.

Tindakan lain ialah pemberhentian proses perundangan kepada 73 pemegang biasiswa yang tamat pengajian, dan 20 pemegang biasiswa dimajukan ke Jawatankuasa Tetap Kewangan untuk dihapus kira kerana terhalang oleh Akta Had Masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.