
Katanya, ia bagi menyediakan pengetahuan kepada golongan belia berkaitan pengurusan kewangan sebelum mereka menyertai pasaran guna tenaga.
“Saya sarankan kursus dan modul khas dalam PLKN 3.0 hendaklah memasukkan modul literasi kewangan ini bagi menghadapi cabaran mendatang di mana generasi baharu di negara kita dan seluruh dunia terkekang dengan permasalahan pembelian dalam talian, penawaran kad kredit dan pembelian tanpa menggunakan kewangan secara tunai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Konvensyen Literasi Kewangan Belia kebangsaan 2023 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
PLKN diperkenalkan pada Disember 2003, sebelum dihentikan selama setahun pada 2015 akibat rasionalisasi perbelanjaan. Ia diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0, sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018.
Pada 27 Sept lalu Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata beliau sudah berbincang dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan berhubung hasrat mengembalikan PLKN.
Sementara itu, Zahid berkata belia hari ini berdepan cabaran sistem kewangan baharu dan memerlukan pendekatan yang dapat memberikan mereka pendedahan lebih awal.
“Untuk itu beberapa pendekatan mesti dilakukan supaya kadar kebankrapan dan insolvensi dapat ditangani di peringkat awal kerana dikhuatiri sebelum mereka masuk ke pasaran guna tenaga, mereka terlebih dahulu mempunyai gaya keberhutangan yang tinggi, ini sangat tidak sihat,” kata menteri kemajuan desa dan wilayah itu.
Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menyarankan penuntut belia yang mengikuti latihan kemahiran di 1,334 institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) diberikan pendedahan dalam modul sama.
“Saya yakin kursus dikendalikan institusi TVET akan tekankan literasi kewangan dimasukkan sebagai salah sebuah modul penting.
“Agar lepasan kursus institusi TVET, program kepimpinan dan kursus di IPTA, IPTS, dan kolej lain dapat sediakan daya tahan terhadap permasalahan dihadapi generasi baharu dan sistem kewangan baharu,” katanya.