
“Pekerja asing memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia, baik dari segi ekonomi mahupun sosial,” menurut Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman.
Data daripada Bank Dunia menunjukkan setiap peningkatan bersih bilangan pekerja asing manual atau “berkemahiran rendah” sebanyak 10% turut meningkatkan KDNK Malaysia sebanyak 1.1%.
Namun, kebergantungan kepada pekerja asing kini tidak lagi dianggap mampan berdasarkan beberapa faktor, kata Syed Hussain.
“Banyak wang yang keluar dari Malaysia melalui pemindahan wang kepada negara asal pekerja asing.
“Ini telah menyebabkan penumpukan besar rezab asing di negara-negara tersebut,” tambahnya.
Menurut laporan MEF pada Februari 2022, dianggarkan sebanyak RM34 bilion setahun dikirimkan pekerja asing ke luar negara melalui saluran sah yang diketahui. Jika saluran tidak sah juga diambil kira, jumlah ini mampu meningkat kepada hampir RM70 bilion.
“Mereka mengirim kira-kira 80% daripada pendapatan ke negara asal,” kata Syed Hussain kepada FMT Business.
Lindungi pekerja asing, ringgit mengukuh?
Dengan menangani isu eksploitasi pekerja asing, Malaysia bukan sekadar mampu memperbaiki persepsi global dan kemampanan masa depan, malah ini juga dapat membantu negara mengatasi kebergantungan kepada buruh asing dan mengurangkan aliran keluar mata wang.
Ahli ekonomi, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berpendapat, kebergantungan Malaysia kepada pekerja asing bukanlah keperluan tetapi suatu pilihan.
“Kita tidak boleh menyalahkan pekerja asing membuat kiriman wang kerana itu hak mereka. Syarikat-syarikat pula menggaji mereka kerana faktor gaji yang rendah, terma pekerjaan yang tidak menepati standard, dan ketiadaan perlindungan undang-undang,” katanya.
Katanya, sekiranya gaji dan hak pekerja asing dan tempatan disamaratakan, majikan akan terpaksa mengkaji semula strategi pengambilan pekerja dan model perniagaan mereka.
“Kesanggupan menerima gaji rendah adalah punca majikan memilih pekerja asing. Sekiranya gaji mereka dinaikkan, permintaan terhadap mereka akan menurun. Cara lain untuk mengurangkan permintaan terhadap pekerja asing ialah dengan memberikan mereka perlindungan undang-undang sewajarnya. Ini akan menghalang syarikat yang tidak bertanggungjawab daripada menggaji dan menganiaya mereka,” katanya.
Menurut Syed Hussain, aliran keluar ringgit akan berubah-ubah, bergantung kepada tahap gaji yang dibayar kepada pekerja asing dan bilangan mereka dalam negara ini.
“Jumlah yagn dihantar pulang oleh pekerja asing akan meningkat seiring peningkatan kadar gaji minimum. Mereka akan menghantar tambahan kira-kira RM4 bilion setahun bagi setiap kenaikan RM100 gaji minimum.
“Pengurangan kebergantungan kepada pekerja asing boleh meminimumkan aliran keluar ringgit untuk jangka panjang. Pengurangan wang keluar ini juga bermakna lebih banyak wang akan kekal dalam negara untuk merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan,” tambah Syed Hussain lagi.
Integrasi teknologi – langkah ke hadapan
Menurut laporan Persekutuan Robotik Antarabangsa 2022, negara seperti China, Jepun, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jerman mencatatkan kemajuan pesat dalam bidang robotik termaju.
China, terutamanya melonjak ke hadapan dalam bidang pengautomasian industri, hasil daripada kecekapannya dalam sektor pengeluaran secara besar-besaran. Kerajaan China menganggap industri robotik sebagai satu ‘lonjakan revolusi’ yang dapat memacu pertumbuhan negara secara keseluruhan.
Malaysia juga tidak ketinggalan. Banyak syarikat daripada pelbagai industri telah mula merangka strategi teknologi yang memberi manfaat kepada mereka.
Bagi Syed Hussain, penggunaan teknologi adalah langkah penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Pengautomasian tugas dan proses boleh mengurangkan risiko dikaitkan dengan pekerjaan dianggap kotor, berbahaya dan sukar (pekerjaan 3D) seperti terdapat dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan yang didominasi pekerja asing, malah juga dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja.
Proton, pembuat kereta nasional misalnya, berjaya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh manual menerusi pendekatan pembuatan berteraskan teknologi. Langkah ini menghasilkan penjimatan kos jangka panjang dan meningkatkan keupayaan pengeluaran.
Pengautomasian bukan sahaja dapat mengurangkan tugas rutin, malah mampu meningkatkan permintaan terhadap pekerja mahir untuk mengendali dan menyelenggarakan mesin dan teknologi robotik termaju.
Untuk memanfaatkan teknologi sebegini dan memaksimumkan prestasi, pekerja juga perlu mendapat latihan. Malah, kunci kejayaan adalah terletak pada pembangunan keupayaan memandangkan pekerja perlu sentiasa dilatih dan ditingkatkan kemahiran agar menjadi lebih produktif, kata Syed Hussain.
“Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) wajar menjadi fokus utama bagi memastikan tenaga kerja kita terutama belia, bersedia memenuhi keperluan Industri 4.0. Institusi pendidikan tinggi perlu memainkan peranan penting untuk memastikan program mereka menepati keperluan pasaran dengan mengadakan kerjasama dengan pihak industri dan membetulkan persepsi buruk masyarakat terhadap TVET.
“Pandangan serong masyarakat terhadap pekerjaan 3D yang kini digalas pekerja asing boleh diubah dengan menukar imej dan meningkatkan nilai kerja tersebut. Namun, usaha ini mesti disokong dengan peluang peningkatan kerjaya yang jelas,” kata Syed Hussain.
Dari sudut makro pula, pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, Abu Sofian Yaacob, berpendapat penerimagunaan teknologi boleh menyekat wang keluar dan mengatasi masalah kekurangan pekerja.
“Memanfaatkan teknologi juga akan melonjakkan pencapaian Malaysia dalam rantaian nilai dan meningkatkan kemampuan kita di persada antarabangsa.
“Kita perlu mempertingkatkan kaedah operasi bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global. Penggunaan teknologi termaju boleh membawa pelbagai manfaat – daripada peningkatan kecekapan sehingga kepada memastikan sebahagian besar kekayaan negara dikekalkan di tanah air ini,” tambahnya.