Berlabuh tanpa kebenaran, kapal Panama ditahan APMM

Berlabuh tanpa kebenaran, kapal Panama ditahan APMM

Kapal membawa kru tempatan dan nakhoda warganegara Mexico ditahan di di kedudukan 2.5 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Kapal dari Panama disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan negara. (Gambar APMM)
KUALA TERENGGANU:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman menahan sebuah kapal dari Panama yang cuba berlabuh di perairan Kemaman tanpa kebenaran, Jumaat lepas.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata kapal yang membawa 20 penumpang termasuk kru warga tempatan dan nahkoda warganegara Mexico itu, ditahan kira-kira pukul 4.45 petang di kedudukan 2.5 batu nautika dari Kuala Kemaman.

“Pemeriksaan mendapati kesemua kru termasuk nakhoda kapal yang berusia antara 20 hingga 52 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dibawa ke pejabat Maritim Zon Kemaman untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata APMM akan terus mempertingkat kawalan dan rondaan di perairan negeri bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara serta negara terjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.