Buktikan ‘plot’ mahu jatuhkan kamu, Guan Eng beritahu Chow

Buktikan ‘plot’ mahu jatuhkan kamu, Guan Eng beritahu Chow

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggesa Chow Kon Yeow menghentikan ura-ura cubaan menjatuhkannya.

Lim Guan Eng (kiri) berkata dakwaan Chow Kon Yeow hanya akan mengalihkan fokus daripada mentadbir kerajaan negeri secara cekap, amanah dan telus.
GEORGE TOWN:
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa Chow Kon Yeow membuktikan terdapat plot menjatuhkannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Baru-baru ini, Chow mendakwa terdapat cubaan menyingkirkannya susulan isu penjualan tanah milik kerajaan negeri.

Lim dalam kenyataan berkata, dakwaan sedemikian hanya akan mengalihkan fokus daripada mentadbir kerajaan negeri secara cekap, amanah dan telus.

Katanya, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook juga “tegas” menjawab dakwaan itu dengan berkata tiada plot untuk menggantikan Chow sebagai ketua menteri.

“Chow perlu menoktahkan ura-ura ini yang dimulakannya sendiri. Beliau belum menunjukkan sebarang bukti ahli DAP cuba menjatuhkannya.

“Tiada bukti mana-mana pemimpin atau ahli parti terbabit berbuat demikian juga. Jika Chow mempunyai bukti, dia perlu hantar kepada Loke supaya parti dapat menangani isu ini secara dalaman dengan setegas mungkin.”

Hujung minggu lalu, Chow meminta mereka yang meninggalkannya supaya “kembali ke pangkuannya” dan mendakwa dirinya belum melepasi “cabaran” untuk kekal sebagai ketua menteri.

Katanya, orang “di dalam dan luar parti” merancang “menjatuhkannya” dalam ucapan yang dilaporkan akhbar Cina tanpa sebarang konteks.

Ditanya mengenai kenyataan ini, beliau berkata ia disebabkan “isu” baru-baru ini, khasnya mengenai penjualan tanah kepada sebuah syarikat swasta oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Chow berkata, mesej utamanya ialah ahli DAP perlu bersatu dan menyokongnya kerana beliau dicalonkan parti sebagai ketua menteri.

Jawatan ketua menteri menjadi topik hangat sebelum PRN, dengan khabar angin Chow tidak akan kekal buat penggal kedua dan Lim mungkin kembali, atau calon disokong bekas ketua menteri itu akan mendapat jawatan berkenaan.

Tetapi, spekulasi sedemikian terhenti selepas DAP memutuskan Chow akan kekal memegang jawatannya. Turut dilaporkan beberapa penyandang menyokong Chow digugurkan daripada mempertahankan kerusi DUN mereka dalam PRN Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.