Semak semula Kanun Keseksaan tangani lonjakan panggilan ‘scam’, kata Bukit Aman

Semak semula Kanun Keseksaan tangani lonjakan panggilan ‘scam’, kata Bukit Aman

Pengarah JSJK Ramli Yoosuf berkata, semakan perundangan diperlukan untuk mengikuti perkembangan zaman, termasuk penggunaan perbankan dalam talian.

Menurut statistik JSJK, sebanyak 3,370 panggilan penipuan dilaporkan pada 2022, lebih dua kali ganda daripada 1,585 yang dilaporkan pada 2021.
PETALING JAYA:
Kanun Keseksaan mesti disemak untuk menangani peningkatan jumlah panggilan penipuan di seluruh negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Yoosuf.

Beliau berkata, Seksyen 420 khususnya, berhubung kesalahan menipu dan dengan curang mendorong supaya harta diserahkan, mesti diperkukuh.

Undang-undang semasa memperuntukkan sesiapa yang disabitkan dengan kesalahan ini berdepan hukuman antara satu hingga 10 tahun penjara, sebatan dan denda.

“Undang-undang harus disemak semula agar sesuai dengan keadaan semasa. Kita perlu menambahbaiknya agar sejajar dengan dunia perbankan dalam talian,” katanya kepada FMT.

Menurut statistik JSJK, sebanyak 3,370 panggilan penipuan dilaporkan pada 2022, lebih dua kali ganda daripada 1,585 yang dilaporkan pada 2021.

Ramli berkata, mangsa sering terdiri daripada individu yang mematuhi undang-undang, tanpa rekod jenayah. Mereka cenderung berasa takut apabila diancam oleh penipu yang mendakwa mereka telah “melanggar undang-undang”, katanya.

“Inilah sebabnya kita lihat ramai (yang tertipu) terdiri daripada pesara dan guru,” katanya.

Seorang mangsa, wanita berusia 50 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah, rugi RM110,000 setelah terpedaya dengan kumpulan penipu yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Sarah mendakwa diperdaya bahawa beliau berhutang dengan TNB bagi bekalan elektrik untuk hartanah yang bukan miliknya.

“Saya tahu bagaimana nak elak panggilan penipuan yang lain, seperti (yang kononnya) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kerana saya tahu (LHDN) tidak menelefon orang. Tetapi kini (penipu) guna cara kononnya mereka daripada TNB.

“Mereka tahu bekalan elektrik bagi salah satu rumah saya pernah dipotong sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Selepas panggilan pertama dengan penipu yang menyamar sebagai pegawai TNB, Sarah menerima satu lagi panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai anggota polis, menuduhnya melakukan pengubahan wang haram.

Dalam keadaan panik, Sarah “terjerat” dan akhirnya memindahkan 90% daripada simpanannya selepas diberitahu mereka perlu “menyemak” bahawa wang itu tidak digunakan secara haram.

Sarah antara ramai mangsa yang pernah ditemui ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Michael Chong.

Wanita itu antara yang “bertuah”, menurut Chong, apabila ramai mangsa lain yang mendapatkan bantuannya meninggal dunia selepas kehilangan wang simpanan mereka.

Chong berkata punca masalah ini ialah penjualan data peribadi. Tanpanya, penipu tidak akan mendapat akses kepada maklumat istimewa, justeru ia mesti dihentikan, tambahnya.

“Pihak-pihak yang menjual data kita yang menyebabkan masalah ini timbul. Tindakan serius perlu diambil terhadap mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.