
Tiga lagi yang ditahan ialah Ahli Jawatankuasa PSM, R Karthiges; ahli Pemuda PSM Perak, P Kesavan dan petani dikenali sebagai Ho Pon Tien.
“PSM mengecam tindakan keras kerajaan Perak terhadap petani yang memberi makanan kepada rakyat!
“Kami menuntut mereka yang ditahan dibebaskan segera,” kata Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan dalam kenyataan.
Michael Jeyakumar ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Siput.
Terdahulu, Karthiges dilaporkan berkata, petani diberikan notis pengusiran pada 13 Okt lalu menyatakan ladang mereka terletak di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan mengarahkan mereka mengosongkan tanah itu dalam tempoh seminggu.
Dalam protes itu, aktivis PSM, Chong Yee Shan didakwa ditolak pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak ketika beliau cuba menghalang pegawai ke ladang itu dengan jentolak dan jengkaut daripada melaksanakan perintah pengusiran.
Chong yang cedera di hidung dan mulut serta luka di kaki dan tangan, kemudian dibawa ke hospital terdekat.
“Kami menuntut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim segera campur tangan. Ini kawasan Parlimennya dan beliau perlu menyelesaikan perkara ini serta memastikan petani produktif ini dijamin hak tanah untuk meneruskan pertanian dan memastikan jaminan makanan untuk negara,” kata Sivarajan.
Pengarah PTG Perak, Fariz Hanip dilaporkan berkata, petani sudah diperuntukkan sebidang tanah tidak jauh dari lokasi terbabit setahun lalu disebabkan pembangunan dirancang.