Kerajaan persekutuan setuju penurunan kuasa Pendidikan Sarawak

Kerajaan persekutuan setuju penurunan kuasa Pendidikan Sarawak

Penurunan kuasa itu adalah mengenai bidang kritikal dalam pendidikan, seperti yang diinginkan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengarahkan penubuhan segera jawatankuasa antara KPM dan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak untuk perkongsian data pendidikan di negeri itu. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Kerajaan Persekutuan bersetuju dari segi prinsipnya terhadap penurunan kuasa mengenai bidang kritikal dalam pendidikan seperti yang diinginkan Sarawak, kata Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof telah mengarahkan supaya sebuah jawatankuasa ditubuhkan segera antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan MEITD untuk berkongsi data mengenai pendidikan di Sarawak.

“Data itu terutamanya berkenaan keciciran pelajar dan pencapaian pelajar. Ini adalah arahan untuk MEITD dan Unit Perancang Ekonomi Sarawak untuk menilai keberkesanan pelbagai program intervensi yang dimulakan negeri selain daripada membantu KPM.

“Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali ditugaskan untuk memulakan satu perbincangan mengenai aspek perundangan menyentuh pengurangan kuasa untuk pendidikan, melibatkan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak,” katanya.

MEITD berkata perkara itu dibincangkan dalam satu mesyuarat dipengerusikan Fadillah awal hari ini dan turut dipersetujui bahawa kedua-dua KPM dan MEITD akan duduk semeja untuk memperhalusi butir-butir berkenaan operasi dan pentadbiran.

Mesyuarat itu yang antara lainnya melibatkan wakil-wakil MEITD, KPM, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) diadakan sebagai susulan kepada mesyuarat sebelum ini mengenai pengurangan kuasa pendidikan daripada kerajaan pusat kepada Sarawak yang diadakan pada Ogos lepas.

Sementara itu, MEITD berkata isu kekurangan lebih daripada 3,000 guru di Sarawak juga dibincangkan pada mesyuarat itu.

“Timbalan perdana menteri telah mengarah SPP dan KPM untuk segera melihat kepada isu ini dan untuk mencadangkan penyelesaian, termasuk membenarkan guru-guru sementara diserap sebagai tenaga pengajar tetap,” katanya.

Fadillah juga meminta semua pihak untuk menghantar laporan lengkap mengenai tindakan yang dipersetujui dalam tempoh sebulan untuk ia dibawa kepada Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.