Mimpi ngeri, sakit dibuli masih dirasai selepas 8 tahun

Mimpi ngeri, sakit dibuli masih dirasai selepas 8 tahun

Gegendang telinga seorang remaja hanya mahu dikenali Wan pecah dibelasah pelajar senior dalam kejadian di sekolah di Terengganu pada 26 Apr 2015.

Wartawan FMT menemubual mangsa buli dikenali Wan di Kuala Terengganu baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU:
Walaupun lapan tahun telah berlalu, namun seorang remaja lelaki merasakan kejadian buli menimpanya di sebuah sekolah di negeri itu seperti baru berlaku.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wan memberitahu dia sering terbayang igauan episod hitam itu yang menjejaskan pendengarannya akibat gegendang telinganya pecah, sehingga terbawa dalam mimpi tidurnya.

“Bangun tidur perasan mata basah (menangis)…saya mimpi dan (seolah-olah) merasai (semula) kesakitan itu (waktu dipukul),” kata Wan kepada FMT mengimbau kejadian dibelasah lima pelajar senior akibat rasa tidak puas hati pada 26 Apr 2015.

Jika tidak kerana penolong pegawai perubatan (MA) yang mengesyakinya dibuli berdasarkan kecederaan pada telinganya, perbuatan lima pembulinya tidak dapat dikesan, Wan berkata: “Saya menipu penyelia asrama (untuk mendapat kebenaran ke klinik) kata telinga sakit kerana bermain bola sepak.”

Kesan darah kecederaan pada cadar katil asrama turut disembunyikan untuk mengelakkan kejadian itu diketahui. Wan bimbang jika terbongkar beliau akan dibuli lagi.

“Di klinik MA tanya saya betul sakit sebab main bola sepak? Saya terpaksa beritahu cerita sebenar,” katanya menjelaskan perkara itu kemudiannya diberitahu pegawai terbabit kepada ayahnya dikenali Fauzi yang membawanya pulang daripada sekolah.

Sejak itu, Wan tidak pernah menjejakkan lagi ke sekolah berkenaan sekali pun ada usaha memujuknya kerana bimbang keluarga mengambil tindakan.

Kes buli membabitkan Wan kembali mendapat perhatian apabila Mahkamah Persekutuan pada 16 Okt lalu mengekalkan keputusan memberikan ganti rugi lebih RM600,000 kepada remaja terbabit.

Enam tahun sebelum itu, Fauzi memfailkan saman RM2 juta terhadap lima pelajar senior terbabit selain responden lain iaitu pengetua dan penolong kanan sekolah, ketua pengarah pendidikan dan kerajaan Malaysia.

Pada 29 Sep 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintah kesemua responden membayar tuntutan RM616,634.20 kepada Wan. Hakim Zainal Azman Ab Aziz memberitahu wujud unsur kecuaian sekolah dan kejadian itu seperti dirancang kerana berlaku di bilik asrama ketua pengawas.

Kini berusia 22 tahun, Wan pada mulanya keberatan ditemuramah kerana bimbang kejadian itu menghantuinya semula, bersetuju berkongsi kisahnya dengan FMT supaya menjadi iktibar serta mempercepatkan penggubalan akta anti buli.

“Saya buat ini sebab nak bantu gubal akta anti buli,” katanya merujuk kepada usaha digerakkan seorang aktivis Wan Azliana Wan Adnan yang juga presiden Pertubuhan Aspirasi Wanita (Aswa).

Telinga sakit

Selain kesan trauma dan pendengaran, Wan juga terpaksa mengurangkan aktiviti air dan jika mandi dia akan menutup telinga menggunakan penyumbat bagi mengelakkan dimasuki air menyebabkan rasa sakit.

“Kalau berwuduk saya tak sapu air ke bahagian telinga.

“Bila pergi tempat tinggi macam Cameron Highlands pun gegendang telinga jadi sensitif kerana ada tekanan, sakit telinga yang dirasai sampai ke kepala,” katanya yang tidak pernah menaiki kapal terbang kerana bimbang berdepan situasi itu.

Terapi bola sepak

Kasut milik Wan digunakan untuk bermain bola sepak yang menjadi terapi buat remaja itu.

Wan yang kini melanjutkan pelajaran dalam jurusan akaun di sebuah institusi pengajian tinggi berkata dia bermain bola sepak untuk memulihkan kekuatan diri dan menghilangkan rasa serabut.

“Bila rasa serabut saya main bola, tetapi tak hilangkan trauma,” kata bekas pemain 12 tahun Terengganu ketika di peringkat sekolah rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.