Syarikat ubat tradisional Cina nafi ‘guna’ Hisham promosi produk

Syarikat ubat tradisional Cina nafi ‘guna’ Hisham promosi produk

Koong Woh Tong berkata ia cuma menggunakan keratan akhbar yang melaporkan ubat herba itu membantu dalam pemulihan pesakit Covid-19.

Bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menuduh syarikat itu mengamalkan ‘pemasaran tidak bertanggungjawab’ kerana menggunakan gambar dan namanya bagi promosi produk.
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat menjual herba tradisional Cina menafikan cuba meraih untung menggunakan gambar bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah untuk mempromosikan produknya.

Koong Woh Tong berkata, ia cuma menggunakan keratan akhbar yang melaporkan ubat herba berkenaan membantu dalam pemulihan pesakit Covid-19.

“Ini adalah petikan daripada sidang media terdahulu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kapasitinya sebagai ketua pengarah kesihatan,” menurut kenyataan syarikat.

Menurutnya, ia tidak pernah mengelirukan atau memperdaya orang ramai untuk mempercayai produk itu diendors Hisham atau sesiapa yang lain.

“Amat dikesali apabila keadaan meruncing seperti ini kerana bukan niat kami untuk meraih keuntungan komersial dengan menggunakan keratan serta artikel akhbar asal.”

Koong Woh Tong menjelaskan, tiada produknya diendors Hisham atau individu terkenal lain, malah produknya tiada kaitan dengan individu berkenaan.

“Kami telah mengambil tindakan segera menurunkan semua keratan dan artikel akhbar di kedai yang mempamerkannya.”

Ahad lalu, Hisham menuduh syarikat itu mengamalkan “pemasaran tidak bertanggungjawab” kerana menggunakan gambar dan namanya untuk mempromosikan produk, dan “tiada pilihan selain mengheret syarikat itu ke mahkamah.”

Hisham menjadi terkenal sebagai jurucakap kerajaan ketika pandemik Covid-19. Apabila seorang pengikutnya di laman sosial berkata, artikel itu berdasarkan ucapan dibuatnya ketika pandemik, Hisham menegaskan: “Ianya sesuatu yang mengelirukan apabila mengaitkan (ucapannya) dengan produk yang dijual syarikat itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.