
Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan berkata suspek berusia 61 tahun yang juga mangsa banjir di PPS sama ditahan susulan dua laporan polis dibuat oleh keluarga dua kanak-kanak berkenaan.
Beliau berkata menurut laporan polis, ibu mangsa memaklumkan, kelmarin suspek telah memujuk dua kanak-kanak berkenaan untuk ke suatu tempat di PPS berkenaan dengan alasan untuk mengajar sebelum dipercayai melakukan perbuatan itu.
“Mangsa tinggal bersama keluarga masing-masing di PPS berkenaan manakala suspek bersama anak dan menantu,” katanya pada sidang media di IPK Terengganu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Susulan kejadian itu, Mazli berkata pihaknya akan meningkatkan rondaan keselamatan bagi mencegah kejadian sama berulang.
Dalam masa sama beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka dan mengawasi pergerakan anak-anak sepanjang berada di PPS.
“Di setiap PPS memang kita ada tempatkan dua anggota polis dan dua anggota Rela untuk memantau keselamatan penghuni.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu kerap memantau pergerakan di dalam PPS kerana akan mengganggu privasi penghuni,” katanya.