Polis mohon bantu kesan budak autisme hilang

Polis mohon bantu kesan budak autisme hilang

Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berusia enam tahun kali terakhir dilihat berada di rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 12 tengah hari semalam.

Zayn Rayyan Abdul Matiin kali terakhir dilihat memakai baju kemeja-T putih berkolar berlencana SK Damansara Damai 2, berseluar sukan hitam dan kasut sekolah hitam. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun yang dilaporkan hilang sejak tengah hari semalam.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata Zayn Rayyan Abdul Matiin kali terakhir berada di rumah di Apartment Idaman, Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, Petaling Jaya pada 12 tengah hari.

Beliau berkata polis menerima laporan kehilangannya pada 6.36 petang semalam.

“Kanak-kanak lelaki berkenaan (kali terakhir) dilihat memakai baju kemeja-T putih berkolar berlencana SK Damansara Damai 2, berseluar sukan hitam dan kasut sekolah hitam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi mangsa supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.