Remaja mengaku salah amang seksual kenalan bawah umur

Remaja mengaku salah amang seksual kenalan bawah umur

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kenalan perempuan berusia 16 tahun di sebuah pusat karaoke, Khamis lalu.

Tertuduh, Muhammad Khairul Effendy Ali Chng, 18, mengaku salah di Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap gadis bawah umur.
PETALING JAYA:
Seorang remaja mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap gadis bawah umur di sebuah pusat karaoke, Khamis lalu.

Tertuduh, Muhammad Khairul Effendy Ali Chng, 18, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, lapor Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang bekerja di sebuah kedai makan, didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kenalan perempuan berusia 16 tahun di pusat karaoke itu pada 10.29 malam, 30 November lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaiamanapun, dia yang diberi peluang merayu oleh mahkamah, memohon supaya dibenarkan ikat jamin dengan jumlah paling rendah kerana pendapatannya tidak seberapa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di IPD Muar setiap bulan serta tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Januari tahun depan untuk penyerahan laporan sosial JKM sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.