Kementerian Pengangkutan salur lebihan dana tanggung subsidi tiket

Kementerian Pengangkutan salur lebihan dana tanggung subsidi tiket

Loke Siew Fook berkata pihaknya mendanai peruntukan bagi inisiatif itu yang telah diserahkan kepada Mavcom.

Loke Siew Fook berkata, inisiatif subsidi mendapat sokongan Jemaah Menteri walaupun tiada peruntukan khusus bagi tujuan itu dalam Belanjawan 2024.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata lebihan belanjawan kementerian diguna membiayai subsidi tiket penerbangan sehala kelas ekonomi yang melebihi RM599 ketika musim perayaan.

“Inisiatif ini mendapat sokongan Jemaah Menteri walaupun kita tidak mempunyai peruntukan khusus daripada belanjawan (2024).

“Bagaimanapun, kita berharap pendekatan kreatif menyalurkan semula apa jua penjimatan atau peruntukan surplus daripada kementerian kami untuk menyokong inisiatif ini,” kata Lok pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAP Kuala Lumpur di ibu pejabat parti.

Beliau berkata, bagi musim perayaan Krismas, dana telah diperuntukan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bagi inisiatif tersebut.

Pada Jumaat, Loke mengumumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan subsidi Kementerian Pengangkutan bagi inisiatif subsidi tiket dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak, dan Labuan sempena cuti Krismas, bermula 22 hingga 24 Dis.

Hari ini, Loke berkata langganan pas perjalanan tanpa had My50 bagi pengguna pengangkutan awam meningkat daripada 120,000 pada Januari kepada hampir 200,000 pengguna bulan ini.

Katanya, pembukaan jajaran MRT Putrajaya pada Mac menyumbang kepada peningkatan itu.

“Bagi 2024, sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi meneruskan My50, bagi pengekalan kos RM50, bersamaan RM1.70 sehari,” katanya.

Loke berkata, pihaknya dalam proses meminda Akta Pengangkutan Jalan 1983 tahun depan bagi memperkasa agensi penguat kuasa bagi mengambil tindakan terhadap kenderaan persendirian menceroboh laluan bas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.