‘Kami tak kejar jawatan Kabinet’, Suhaili beritahu Takiyuddin

‘Kami tak kejar jawatan Kabinet’, Suhaili beritahu Takiyuddin

Suhaili Abdul Rahman berkata Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar Ibrahim tidak pernah letak syarat termasuk dilantik menteri.

Suhaili Abdul Rahman menyifatkan kenyataan Takiyuddin Hassan sebagai provokasi terhadap lima Ahli Parlimen PN menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Sokongan lima wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan bagi mengejar jawatan dalam Kabinet, sebaliknya hanya mahu peruntukan bantu rakyat, kata Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman.

Suhaili yang digantung enam tahun daripada Bersatu berkata beliau bersama empat lagi tidak pernah meletakkan syarat seumpama itu, sambil menegaskan keputusan melantik seseorang ke dalam pentadbiran Putrajaya adalah prerogatif Anwar.

Selain Suhaili, turut menyokong kerajaan Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

“Jadi kita yang berlima tidaklah meletakkan syarat atau harapan bagi sokongan dilantik, tapi jika ada itu satu pengiktirafan…nampak buruk jika kami nyatakan bahawa kami tidak dilantik, tidak boleh macam itu.

“Sedangkan masa buat pengisytiharan, kita sokong perdana menteri demi dapatkan peruntukan untuk kawasan, itu kena konsisten,” katanya kepada FMT.

Sehubungan itu, beliau menganggap ‘kekecewaan’ Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berhubung tiada seorang daripada lima Ahli Parlimen PN menyokong Anwar dilantik dalam rombakan Kabinet, minggu lalu hanya sebagai provokasi.

“Saya akan terus sokong perdana menteri walaupun tak diberi apa-apa jawatan, demi kestabilan politik dan kebaikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Syed Hussin pula menyifatkan kenyataan Takiyuddin yang mendakwa wakil rakyat PN yang menyokong Anwar wajar mendapat tempat sebagai ‘positif’.

“Kalau kenyataan beliau minta kerajaan bagi jawatan baguslah maknanya.

“Maknanya saya daripada PN dan dia menyokong, (itu) kenyataan positif daripada Setiausaha Agung PAS..saya menghargai pandangan dia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.