Walau tak cukup dana, pancaragam masih rangkul trofi antarabangsa

Walau tak cukup dana, pancaragam masih rangkul trofi antarabangsa

70 pelajar terpaksa mengharungi 48 jam menaiki bas ke Sisaket untuk berdepan pancaragam dari negara lain di Thailand World Music Championship.

Pasukan pancaragam SMK Seri Pekan bersama anugerah dimenangi pada Thailand World Music Championship (TWMC) berlangsung pada 13 hingga 16 Dis lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kira-kira 70 pelajar berbakat berdepan cabaran untuk menyertai Thailand World Music Championship (TWMC) bagi menghadapi pasukan pancaragam dari negara-negara lain.

Meskipun kekurangan dana, pancaragam SMK Seri Pekan membuktikan kebolehan berdepan pasukan dari Thailand, Indonesia, Filipina, dan Sri Lanka; dengan meraih trofi dalam empat kategori selepas mengharungi perjalanan selama lebih 48 jam menaiki bas dari Pekan di Pahang ke Wilayah Sisaket di timur laut Thailand.

Dalam kejohanan yang berlangsung dari 13 hingga 16 Dis itu, SMK Seri Pekan raih tiga anugerah emas selepas dapat tempat ketiga dalam acara Color Guard Show dan Brass Battle, serta tempat kelima dalam pertandingan Color Guard Battle; dan anugerah perak selepas dapat tempat keenam dalam acara Street Parade.

Menurut jurulatih mereka, Ahmad Muqri Zam Zam, perjalanan menaiki bas itu bukan perancangan asal mereka.

“Setahu saya sebelum ini perancangan asal pergi ke Thailand dengan menaiki keretapi; iaitu dari Pekan, Pahang ke Padang Besar (Perlis) menaiki bas, dan dari Padang Besar ke Bangkok melalui kereta api.

“Tapi disebabkan kutipan tidak mencukupi, mungkin cikgu-cikgu bincang bergerak ke sana menaiki bas,” katanya kepada FMT.

Menurut Ahmad, pancaragam SMK Seri Pekan ditawarkan untuk menyertai TWMC kerana ia mendapat tempat kedua pada Malaysia National Band Competition 2022.

Difahamkan mereka hanya berjaya mengutip RM600 daripada sasaran RM1,400 untuk setiap seorang peserta rombongan, yang seramai 80 orang termasuk guru dan jurulatih.

Ahmad berharap pada masa depan, kerajaan sudi menaja pancaragam yang terpilih untuk menyertai pertandingan antarabangsa atau sekurang-kurangnya “melihat kepada aspek lain bagi meringankan beban sekolah-sekolah yang bertanding.”

Beliau berkata 10 tahun lalu pertandingan peringkat nasional menyaksikan banyak sekolah terlibat “disebabkan sepenuhnya ditanggung Kementerian Pendidikan dan kerajaan waktu itu.”

“Tapi mungkin keadaan sekarang, pasukan pancaragam terpaksa berdikari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.