Sekolah DLP wajib pastikan bahasa ibunda dikuasai, tegas menteri

Sekolah DLP wajib pastikan bahasa ibunda dikuasai, tegas menteri

Lawatan di lapangan menunjukkan terdapat murid di sekolah yang melaksanakan DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

Sekolah bersetuju melaksanakan DLP wajib memastikan semua kriteria dipenuhi, termasuklah penguasaan bahasa Melayu.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan beriltizam untuk terus berusaha memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dan meningkatkan mutu pendidikan bahasa Inggeris.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Program Dwibahasa (DLP) sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris.

Beliau berkata lawatan di lapangan menunjukkan terdapat murid di sekolah yang melaksanakan DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

“Oleh itu, sekolah yang bersetuju untuk melaksanakan DLP wajib memastikan semua kriteria dipenuhi, termasuklah penguasaan bahasa Melayu. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadhlina berkata berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan DLP 2021, sekolah yang melaksanakan DLP perlu memastikan agar peluang murid yang lain untuk mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda tidak terjejas.

Beliau berkata pengurusan pelaksanaan DLP adalah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing dan pihak sekolah diberikan kebenaran untuk membuka lebih satu kelas DLP bagi murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 berdasarkan kesediaan sekolah serta penilaian oleh Pejabat Pendidikan Daerah dan JPN.

Fadhlina berkata kelulusan pelaksanaan DLP tertakluk kepada keputusan KPM berdasarkan kes-kes setiap sekolah dan mengambil pendekatan manusiawi iaitu murid-murid kohort sedia ada masih dibenarkan untuk meneruskan kelas DLP.

Bagaimanapun, sekolah perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi kohort baharu murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada sesi 2024/2025.

JPN seterusnya bertanggungjawab memetakan sekolah menengah penerima bagi memastikan setiap kohort murid dapat meneruskan pembelajaran dalam kelas yang melaksanakan DLP di peringkat menengah.

KPM akan terus memantau dan memberikan penerangan mengenai pelaksanaan DLP kepada pentadbir sekolah mengikut keperluan dan terbuka kepada cadangan serta keperluan inisiatif lanjut daripada masyarakat termasuklah mengadakan sesi dialog bersama pihak berkepentingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.