
Kerjasama itu dicapai apabila SPRM diwakili Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Presiden Nazaha, Mazin Ibrahim dalam majlis diadakan ibu pejabat SPRM, semalam.
Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam aspek pertukaran maklumat dan penyertaan dalam program pencegahan rasuah termasuk bantuan teknikal.
Azam dalam ucapannya berharap MoU itu dapat mengukuhkan jalinan kerjasama dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“SPRM bercadang mengadakan lawatan rasmi ke Nazaha tahun ini bagi perbincangan lanjut serta perkongsian pengalaman,” katanya.
Sementara itu, Mazin dalam ucapannya memaklumkan kerajaan Arab Saudi komited membanteras rasuah tanpa toleransi melalui beberapa inisiatif utama.
“Antaranya Inisiatif Riyadh dikenali sebagai Globe I Network bertujuan mewujudkan rangkaian operasi global dalam kalangan agensi antirasuah bagi memudahkan pertukaran maklumat dan program pembangunan modal insan.
“Sehingga kini, sebanyak 191 agensi antirasuah daripada 150 negara menyertai rangkaian tersebut,” katanya.
Mazin turut memaklumkan pihaknya membangunkan inisiatif global untuk mengukur kadar rasuah mengambil kira perbezaan politik dan undang-undang setiap negara.
Beliau mengalu-alukan SPRM mendapat manfaat melalui inisiatif itu yang akan dilaksanakan selari dengan Prinsip Vienna ke arah rangka kerja global untuk mengukur kadar rasuah.