Majikan didakwa ‘dipaksa’ guna e-wages CLAB, persatuan gesa kerajaan campur tangan

Majikan didakwa ‘dipaksa’ guna e-wages CLAB, persatuan gesa kerajaan campur tangan

Presiden Kris Foo Yin Choo mendakwa permintaan CLAB melangkaui bidang kuasa menteri, kerana majikan mempunyai pilihan menurut Seksyen 25 Akta Kerja.

Seksyen 25 Akta Kerja beri majikan pilihan guna pembayaran yang diperakui oleh undang-undang itu, kata presiden Papsma.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) menggesa kerajaan mengkaji semula ‘arahan’ Pusat Pertukaran Pekerja Binaan Bhd (CLAB) yang didakwa mewajibkan majikan membayar gaji menggunakan sistem e-wages.

Menerusi notis dikeluarkannya pada bulan lalu, majikan yang gagal berbuat demikian akan disenaraihitam sekali gus menyukarkannya memperbaharui permit pekerjanya.

Presiden Papsma Kris Foo Yin Choo berkata ini kerana Seksyen 25 Akta Kerja memberikan majikan pilihan menggunakan pembayaran yang diperakui oleh undang-undang itu, kata Presiden Kris Foo Yin Choo.

“Papsma tidak bersetuju CLAB memaksa majikan menggunakan sistem itu kerana mereka mempunyai pilihan menggunakan pembayaran yang telah dipersetujui dan diperakui di bawah Seksyen 25 Akta Kerja,” katanya kepada FMT.

Peruntukan itu menetapkan upah boleh dibayar melalui institusi kewangan bawah Akta Perkhidmatan Kewangan atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam; atau institusi bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan.

Secara tunai atau cek atas permintaan bertulis pekerja, dengan kebenaran Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, selain instrumen pembayaran upah dipersetujui menteri sumber manusia.

“Kami gesa kerajaan kaji semula CLAB yang telah melangkaui bidang kuasa menteri sumber manusia,” kata Kris.

Kris menjelaskan pengguna yang disenarai hitamkan bermaksud tidak boleh perbaharui permit pekerja pada masa depan.

CLAB ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kabinet Berhubung Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin pada 2003, sebagai pusat pemudah cara dalam pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan, dan menjadi anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia sejak 2017.

FMT telah menghubungi CLAB untuk mendapatkan maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.