
Menteri Besar Sanusi Nor, berkata Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah akan dirujuk dalam tempoh terdekat bagi menentukan sebarang tindakan lanjut.
“Kerajaan negeri sudah semak, ada tujuh enakmen yang sama dengan Kelantan. Kita akan kaji kesan perundangan bersabit keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Kita akan ambil tindakan yang wajar untuk perkukuhkan undang-undang syariah di negeri ini,” katanya kepada Harian Metro.
Sanusi berkata, kesan terhadap pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tersebut perlu diteliti secara terperinci bagi memastikan ia mengikut laras undang-undang syariah Kedah.
“Akan rujuk Tuanku Sultan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Pada Jumaat, panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.
Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya. Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.