Jho Low dilihat sebagai proksi Najib, saksi beritahu mahkamah

Jho Low dilihat sebagai proksi Najib, saksi beritahu mahkamah

Bekas penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo, berkata Jho Low minta dia sediakan dokumen untuk ditandatangan Najib Razak.

Jasmine Loo kata semua keputusan besar perlu dibincangkan dengan Jho Low sebelum diluluskan oleh Najib Razak, yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
KUALA LUMPUR:
Bekas penasihat undang-undang 1MDB beritahu mahkamah bahawa ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, memberikan tanggapan bahawa dia rapat dengan bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Kami di 1MDB melihat Jho Low sebagai proksi Najib kerana beliau (Najib) juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB,” kata Jasmine Loo.

Beliau juga berkata semua keputusan besar perlu dibincangkan dengan Low sebelum diluluskan Najib.

Loo berkata semasa di 1MDB, dirinya hanya bertemu Najib dengan kehadiran pegawai-pegawai syarikat lain.

“Low akan minta saya sediakan dokumen untuk ditandatangani Najib. Saya tidak tahu bagaimana Low dapat bertemu Najib untuk dapatkan tandatangannya,” katanya.

Loo, 51, berkata dirinya berkhidmat di 1MDB sebagai penasihat undang-undang sehingga Nov 2013, dan sebelum itu di UBG Bhd antara 2009 dan 2011.

“Low adalah seorang pengarah di UBG dan bertemu dia semasa temuduga,” katanya.

Pendengaran diadakan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Najib menghadapi 25 pertuduhan berkaitan salah guna kedudukan dan pengubahan wang, membabitkan RM2.28 bilion didakwa dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.