
Johari berkata, beliau tidak akan bertolak ansur dengan perkara itu dan meminta sebarang masalah antara Ahli Parlimen di selesaikan di luar Dewan.
“Saya nak maklumkan kepada timbalan-timbalan untuk memastikan masalah-masalah (Ahli Parlimen) yang berlaku di luar Dewan, sama ada peperangan yang berlaku antara parti ke parti, atau apa juga di media sosial, selesaikan di luar dan jangan mengheret kita di Dewan.
“Mana-mana yang berhormat menggunakan platform ini untuk tujuan mengenakan kawan-kawan, saya pastikan kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya di Dewan Rakyat.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bertitah, semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara menjaga adab dan tatatertib, selain menggunakan pertuturan yang sopan.
Baginda turut memberi kebenaran kepada speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.