Subsidi 2 minggu tiket penerbangan Aidilfitri terlalu tinggi, kata Loke

Subsidi 2 minggu tiket penerbangan Aidilfitri terlalu tinggi, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata pihaknya mempunyai sumber kewangan yang terbatas.

Loke Siew Fook berkata inisiatif subsidi harga tiket penerbangan ke Malaysia Timur untuk beberapa perayaan adalah daripada Kementerian Pengangkutan sendiri tanpa pembiayaan khusus Kementerian Kewangan.
LANGKAWI:
Kos untuk kerajaan memberi subsidi tiket kapal terbang bagi perjalanan sehala kelas ekonomi dari Semenanjung ke Malaysia Timur selama dua minggu sempena Aidilfitri adalah terlalu tinggi, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke mengulangi bahawa inisiatif itu, yang juga terpakai pada beberapa perayaan lain, adalah daripada Kementerian Pengangkutan sendiri tanpa pembiayaan khusus Kementerian Kewangan.

“Sudah tentu, jika boleh, saya mahu ia dilaksanakan sepanjang tahun, tetapi ini adalah kos yang perlu ditanggung kerajaan. Walaupun hanya untuk tiga hari, ia menelan belanja beberapa juta ringgit.

“Saya memahami sentimen itu, tetapi ini adalah batasan yang kita hadapi, dan dari segi sumber kewangan, ia tidak mencukupi untuk menampung (kos subsidi tambang penerbangan selama dua minggu).”

Tambang maksimum RM599 untuk penerbangan sehala kelas ekonomi dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak, dan Labuan hanya terpakai untuk perjalanan tiga hari sebelum Aidilfitri.

Inisiatif itu juga dilaksanakan semasa Krismas dan Tahun Baharu Cina, dan akan terpakai semasa Hari Kaamatan dan Gawai.

Sebelum ini, Barisan Pengguna Sabah menggesa inisiatif itu dipanjangkan kepada dua minggu untuk membolehkan lebih ramai penduduk dari Malaysia Timur menikmati harga tiket penerbangan yang munasabah apabila pulang ke kampung halaman mereka.

Katanya, tawaran ketika ini tidak adil kepada mereka yang tidak dapat mengambil cuti semasa cuti Hari Raya, kerana mereka terpaksa bekerja dan pulang ke kampung halaman selepas perayaan berakhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.