Ahli Parlimen PAS cadang iktiraf asam rong, patin tempoyak makanan warisan

Ahli Parlimen PAS cadang iktiraf asam rong, patin tempoyak makanan warisan

Khairil Nizam Khirudin berkata dua hidangan itu dinikmati rakyat, disahkan halal, dan boleh tingkatkan pelancong ke Jerantut.

Ahli Parlimen Khairil Nizam Khirudin berkata mengiktiraf asam rong dan ikan patin tempoyak lebih wajar.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PAS mencadangkan hidangan asam rong dan ikan patin tempoyak diiktiraf sebagai makanan warisan negara.

Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata dua hidangan itu dinikmati oleh rakyat dan disahkan status halalnya berbanding “isu yang berlaku sebelum ini”, dipercayai merujuk kepada pengiktirafan bak kut teh.

“Ia lebih wajar dan boleh meningkatkan pendapatan rakyat Jerantut serta dapat meningkatkan kehadiran pelancong dalam dan luar negeri ke Jerantut,” katanya di Dewan Rakyat.

Pada 24 Feb lalu, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin mengumumkan bak kut teh, burasak, mi kolok, dan nasi ambeng antara 10 hidangan diwartakan sebagai makanan warisan negara dalam Pengisytiharan Objek Warisan 2024.

Menurutnya, makanan itu diwartakan sebagai objek warisan melalui kuasa yang diberikan kepadanya oleh Subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan.

Sebelum ini, pengiktirafan terhadap hidangan bak kut teh menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak termasuk Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang menyifatkan keputusan itu menyentuh sensitiviti umat Islam memandangkan Islam adalah agama persekutuan.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Salamiah berkata beliau terkejut serta meminta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing memberi penjelasan. Katanya, ada banyak makanan lain yang boleh diterima semua kaum yang boleh dimasukkan ke dalam senarai itu.

Selain itu, pada 29 Feb lalu, ketua Pemuda Umno menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecat menteri yang terlibat dalam membuat keputusan mengiktiraf bak kut teh sebagai hidangan warisan negara.

Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, menteri berkenaan gagal memikirkan sensitiviti rakyat maka sudah tiba masanya perdana menteri mengambil tindakan sedemikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.