
Mangsa lelaki berusia 68 tahun dipercayai dibakar di hutan belakang rumahnya selepas hilang pada 16 April.
Ketua Polis Ranau, Simiun Lomudin, berkata pihaknya menerima laporan pengadu yang juga anak saudara kepada mangsa dan suspek, pada 9.43 malam.
Katanya, pengadu memaklumkan menemui serpihan tulang disyaki milik manusia yang dibakar di kawasan hutan belakang rumah mangsa.
“Serpihan tulang itu dipercayai milik bapa saudaranya yang hilang pada 16 April.
“Bagaimanapun, semua serpihan tulang ditemui akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk tujuan analisis perbandingan DNA,” katanya menurut Harian Metro.
Simiun berkata, hasil siasatan menahan seorang lelaki 50 tahun yang juga anak saudara mangsa.
“Suspek ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian untuk membantu siasatan. Polis masih dalam proses siasatan termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.