
Pengarahnya Roselan Ramli berkata pada hari berkenaan, bertindak atas maklumat awam dan hasil risikan, Unit Narkotik Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang membuat pemantauan di kawasan perumahan berpagar dan berpengawal di situ.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan kira-kira 9.30 malam, petugas unit itu menemukan dua beg di bawah pokok di kawasan perumahan berkenaan, yang disyaki mengandungi dadah.
“Pasukan kami menunggu selama lapan jam bagi memantau dua beg itu, namun tiada individu yang menghampiri atau datang mengambilnya. Kami bawa balik (dua beg itu) ke Unit Narkotik JKDM negeri untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Bercakap pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini Roselan berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan 30 bungkusan kecil yang dibalut dengan kertas bungkusan teh hijau “guanyinhwang” mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 30kg.
Beliau berkata, pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup di kawasan itu bagi mengenal pasti suspek, dan sedang menyiasat dari mana datangnya dadah berkenaan.
Semua dadah dirampas itu didapati boleh digunakan kira-kira 150,000 penagih, dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.