
Timbalan Pengerusi S Arutchelvan berkata sebagai parti politik mereka harus bertanding namun mengakui pada masa kini berdepan kesukaran membentuk gabungan kuat untuk bertanding di banyak kerusi termasuk Kuala Kubu Baharu.
“Kemungkinan kita bertanding dan kekalahan itu lain, tapi bukan sebab itu kita tidak bertanding,” kata Arutchelvan pada sidang media bersama pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz.
Beliau mengulas sama ada keputusan PSM dan Muda tidak bertanding pada PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei disebabkan sering kalah dalam pilihan raya disertai.
Amira juga berkata risiko kekalahan sebab bukan utama mereka tidak bertanding dan menegaskan Muda mempunyai banyak calon boleh diketengahkan.
“Dari segi kesediaan calon dan gerak kerja ada…banyak calon Muda boleh diketengahkan.
“Namun setelah digariskan keutamaan untuk beri kuasa kepada rakyat menunjukkan referendum antara parti kerajaan dan parti pembangkang utama,” katanya.
Kali terakhir Muda dan PSM menyertai pilihan raya ialah PRN enam negeri pada Ogos 2023, di mana parti itu kalah semua kerusi ditandingi.
Kerusi itu termasuk di DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan calon Muda Dr Siva Prakash tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Lee Kee Hiong yang memperolehi majoriti 4,119 undi.
PRK diadakan susulan kematian Lee pada 21 Mac lalu akibat barah.
Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Pang Sock Tao dari DAP sebagai calonnya manakala Perikatan Nasional (PN) pula menamakan Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut.